Hello and welcome to beautiful Template.

Latest Writings

Ilmu Jalan Taqwa

“(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ‘Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka’,"
(Ali Imran: 191)
Salam bahagia,

Tiadalah saat yang paling menggembirakan selain tenggelam dalam lautan ilmu yang maha luas. Sungguh ilmu itu makin dihirup, makin terasa dahaga. Ibarat dahaga sang musafir tatkala berada di tengah kegersangan sahara. Semakin digali semakin sukar menjumpai penghujungnya. Ibarat tiada nokhtah, sedang ilmu yang ada di bumi langsung tidak berupaya menyamai setitis ilmu Allah s.wt. (Justeru siapalah kita untuk berasa sombong, angkuh, ego, u'jub, riak, takabbur dan yang sewaktu dengannya kepada Tuhan pencipta qalam? Huh sedarlah diri yang hina)

Sedar tidak sedar sudah tiga bulan saya berkelana di bumi Mu'tah. Tanah tumpah darah syuhada'. Terima kasih Ya Allah atas kurniaan nikmatMu yang tidak putus-putus. Hanya Kau sebaik-baik tempat pergantungan.

Khusyu' menekuni mutiara-mutiara ilmu yang tidak terhingga banyaknya sehingga terkadang tamak menguasai diri untuk merebut sebanyak mungkin ilmu-ilmu yang ada. Apakan daya kudrat yang ada cukup terhad.
Namun peluang yang ada tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja. Sangatlah rugi terutama bagi penuntut ilmu yang tidak merebut peluang menuntut ilmu yang terbentang luas di hadapan. Kelak pasti akan mengundang penyesalan yang tidak terhingga.

Ibarat mutiara kata yang terluncur dari bibir Saidina Umar:

[تَزَوَّدُوا قَبل أن تَسَوَّدُوا]

"Jadilah kamu sang pemburu sebelum kamu diburu" / " Bekalkanlah dirimu dengan ilmu sebelum kamu menjadi pemimpin" (terjemahan mengikut kefahaman penulis).

Justeru, suka saya mengingatkan diri yang hina ini dan sahabat-sahabat yang masih berada di alam pengajian supaya merebut kesempatan yang ada semaksimum yang mungkin sebelum disibukkan dengan taklifat-taklifat yang lebih berat di kemudian hari.

Perkongsian: Kelebihan Ilmu

Jika ingin membahaskan tentang kepentingan ilmu pasti tidak berpenghujung kerana begitu banyak kelebihan-kelebihan yang terdapat padanya. Satu hari Dr. Jamal Abu Rumman (salah seorang pensyarah di Universiti Mu'tah yang mengajar penulis subjek Ulum Quran) telah mengupas perkaitan (ilmu munasabat) antara ayat pertama yang diturunkan (iaitu lima ayat daripada surah al-Iqra') dan jua ayat terakhir yang diturunkan (ayat 281 surah al-Baqarah).

Jika dilihat ayat pertama yang diturunkan menyeru manusia kepada ilmu apabila Allah berfirman:

"Bacalah (wahai Muhammad)dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah- Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan- Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".
(al-Alaq:1-5)

Manakala ayat yang terakhir adalah perihal taqwa sebagaimana firman Allah yang berbunyi:

"Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan)."
(al-Baqarah: 281)

Justeru dapat dilihat, ayat pertama yang diturunkan menyeru kepada membaca. Sedang membaca merupakan kunci kepada penerokaan ilmu yang lebih luas. Manakala ayat yang terakhir menyentuh tentang taqwa sebagaimana permulaan ayat digunakan lafaz "wattaqu" iaitu 'bertaqwalah' sebagai bekalan sebelum kembalinya manusia kepada Allah s.w.t.


Perkaitan ini menunjukkan bahawa untuk mencapai taqwa, tidak mungkin dapat dicapai tanpa melalui jalan ilmu. Sebagaimana kapal perlu melalui jalan laut, kapal terbang melalui jalan udara dan kenderaan di darat yang melalui jalan darat. Begitu juga taqwa perlu melalui jalan ilmu untuk menggapainya.

Jua perkaitan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa matlamat ilmu bukan untuk menjadi pandai semata-mata namun adalah membawa manusia kembali tunduk dan menyerah diri kepada Tuhan. Taqwa itu buah kepada ilmu.

Sebagaimana firman Allah s.w.t lagi"

"Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?"
(az-zumar: 9)

Hanya manusia yang berilmu berupaya mengetahui kewujudan dan kebesaran Allah s.w.t seterusnya beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Namun ilmu yang bagaimana?

Falsafah ilmu menetapkan bahawa syarat ilmu mestilah memberi manfaat kepada pemiliknya dan mendatangkan kebaikan.

Hadis Rasulullah s.a.w :

"من يرد الله به خيراً فليفقهه في الدين"

Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah baginya kebaikan nescaya akan diberinya kefahaman dalam bidang agama"

Orang yang berilmu pasti mengikut resmi padi, semakin berisi semakin menunduk.
Bukan seperti lalang yang hakikatnya kosong walau tinggi meliar.

Ilmunya membawa hati lebih tunduk kepada Yang Memiliki Ilmu.

Ilmunya membawa hatinya lebih khusyu', jauh daripada sombong dan takabbur kepada Tuhan.

Ilmunya menuntun jiwanya ke arah kebaikan.

Yang lebih penting, ilmunya mencelikkan mata hati, menemukannya kepada pemilik hati.

Sedang Ilmu yang tidak bermanfaat membawa pemiliknya jauh daripada Tuhan. Semakin bijak, semakin takabbur, menyombong pada Tuhan. Pandai namun tidak memberi manfaat kepada Islam dan masyarakat.

Bersamalah berdoa supaya dilindungi Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat sebagaimana yang diajari Junjungan besar kita:

[اللهم إنِّي أًعُوذُبِكَ مِن عِلمٍ لا يَنْفَعْ]

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung padaMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat"


Sumber : http://www.syaheedamaniena.blogspot.com/

0 comments.

Majukan Kembali Sistem Pendidikan Jemaah

Assalamualaikum w.b.

Kali ini, saya mahu menulis tentang nilai pendidikan khususnya dalam jiwa orang yang berada di dalam perjuangan Islam di Malaysia ini. Nanti dulu, sebelum anda beranggapan bahawa saya menulis ini atas dasar SS (Syok Sendiri), saya mahu terangkan di sini bahawa tulisan ini adalah dari pengalaman ciput yang saya ada, perbincangan dengan orang tua saya, luahan yang saya dengar dari masyarakat dan hasil pemerhatian saya pada keadaan sekeliling

Sekadar cadangan, mungkin terselit kritikan tetapi bukanlah untuk menjatuhkan, sekadar mahu menyegarkan, andai ada yang tidak kena dengan apa yang diperkatakan, maka kemaafanlah yang saya dahulukan, cuma apa yang saya harapkan, jangan sesekali menutup fikiran, renungilah dengan dada yang lapang. Tu la, kang tak pasal-pasal dah bergurindam. hehe

1- Perkara nombor wahid yang wajib ditekankan oleh institusi pendidikan jemaah adalah kualiti pendidikan itu sendiri. Saya bukan siapa-siapa dalam hal menentukan kualiti ini, bahkan orang besar-besar berucap dalam majlis idul ilmi, MIBG, JIBG dan Konvokesyen pun sentiasa menekankan tentang betapa kualiti ini penting. Tetapi betulke penekanan dari ucapan ini berjalan seiring dengan tindakan, sila fikirkan.

2- Sebagai institusi bagi sebuah jemaah Islam terbesar negara, mahu tidak mahu usaha untuk melahirkan pelapis kepada generasi yang ada sekarang mestilah diperhebatkan, bukan mahu membangkang, tetapi mahu menjelaskan bahawa usaha yang ada sekarang hanya sekadar akan melahirkan pemacak bendera, pengutip derma dan lain-lain tugas yang diperlukan ketika terdesak. Saya tidak memaksudkan bahawa tugas-tugas di atas ini tidak mulia, tetapi tugas tersebut terlalu sedikit jika dibandingkan dengan matlamat sebenar penubuhan institusi jemaah ini. Lalu saya memohon agar ditingkatkan lagi usaha melahirkan pemimpin, bukan sekadar penyokong dan pendokong semata-mata. Apa yang pasti, usaha ini haruslah melibatkan semua ustaz-ustazah-pendidik-pensyarah bahkan pimpinan PAS dan bukan hanya dibiarkan bahu pimpinan pelajar sahaja yang memikulnya

3- Saya berjalan-jalan di sana-sini pada dua tiga minggu ini, saja mendengar cerita-cerita sensasi yang boleh diterjemahkan ke dalam tulisan, lalu dari apa yang saya dapat dan saya perhatikan, para pendidik terlalu sibuk dengan urusan jemaah, sehingga membawa kepada terabainya kelas-kelas pengajian. Jika saya sebagai pelajar, pastilah menjadi suatu kebahagiaan bila tiada kelas, tetapi semenjak menjawat jawatan sebagai pemerhati dari luar ini, saya cukup merana bila saya lihat pelajar-pelajar yang semangat partinya cukup kuat (PRK di mana-mana pasti akan turut serta) akan tetapi persediaan dari ilmu dan ma'rifah amat-amat menyedihkan. (Termasuk saya)

4- Saya mahu memberitahu, usaha-usaha meningkatkan pengetahuan agama sedang gigih dibuat oleh pihak lawan, jika kita tiada daya usaha untuk menjadikan institusi pendidikan kita menjadi yang lebih baik, maka kita sudah tewas sebelum perlawanan final diadakan. Saya rasa jika kita mampu menyusun kerja kita dengan lebih sistematik dan berstrategis, saya fikir, belajar di bawah pokok pun sudah memadai untuk melawan mereka yang belajar dengan bangunan agam berfasiliti tinggi ini.

5- Cis, kau cakap memanglah senang bhai!... Saya akui, memang senang sekali bercakap dan menulis itu dan ini, tetapi jika frasa "Cis, kau bercakap memanglah senang bhai!" atau yang sewaktu dengannya sering diulang-ulang dan dijadikan jawapan tetap, tanpa cakap banyak, saya berani katakan bahawa setakat itu sajalah tahap yang kita mampu capai.

6- Akhir tulisan, saya terdorong untuk menulis ini kerana saya merasakan mereka yang berada di institusi pendidikan kerajaan lebih hebat perjuangan mereka, lebih idealis tindakan mereka dan yang lebih penting kewujudan mereka lebih relevan dengan suasana mu'asoroh. Ingat Allah boleh memilih orang lain untuk meneruskan KalimahNya di atas muka bumi ini. Semoga kita sentiasa menjadi pilihan Allah.

Akhir kalam, semoga institusi pendidikan jemaah benar-benar mempunyai mutu untuk melahirkan pemimpin Islam berkualiti samada dari kepimpinannya dan ilmunya.

0 comments.